ANTARA KEBIJAKSANAAN DENGAN PENGORBANAN:  

Posted by Fauzan Razak

Cuti Semester yang lepas aku sempat menyelak sebuah buku yang lamaku tinggalkan di almari rumah. 'Sulalatussalatin' atau Sejarah Melayu yang telah dikarang oleh Tun Sri Lanang memang telahku baca sewaktu belajar di tingkatan enam, buku wajib untuk teks matapelajaran kesusasteraan Melayu. Buku ini ditulis dalam bahasa Melayu Klasik, agak sukar untuk difahami. Namun, itu bukan alasan untuk tidak dibaca. Setelah sebulan membaca buku ini aku agak tertarik dengan sebuah peristiwa iaitu Sultan Muzaffar yang telah menyerahkan permaisuri baginda, Tun Kudu kepada Seri Nara Diraja Tun Ali untuk mengelakkan permusuhan atau perpecahan rakyat Melaka ketika zaman pemerintahan baginda di Melaka. Permusuhan tersebut berlaku antara golongan yang mengikut Tun Ali dan satu golongan mengikut Tun Perak. Penyerahan Tun Kudu kepada Tun Ali adalah satu pengorbanan dan meninggalkan kesan kepiluan kepada pembaca kerana Tun Kudu merupakan isteri kesayangan Sultan Muzaffar Syah. Setelah diceraikan, Tun Kudu diserahkan kepada Tun Ali. Baginda membuat demikian kerana Tun Kudu merupakan kakak kepada Tun Perak. Dengan penyerahan ini, Tun Ali dan Tun Perak berbaik-baik semula.
Peristiwa ni telah menyedarkan aku betapa bijak dan mulianya insan yang bergelar pemimpin ini. Baginda seorang yang bijak kerana telah berjaya menyelesaikan persengketaan yang berlaku antara beberapa pihak dan akhirnya dapat menyatupadukan rakyat. Baginda juga seorang yang mulia kerana baginda sanggup mengorbankan kepentingan baginda sendiri untuk meyatupadukan rakyat. Alangkah baiknya jika 'PEMIMPIN PADA MASA INI' berjiwa seperti baginda. Dengan situasi politik yang agak kelam kabut di negara ini, aku agak kabur pemimpin yang manakah yang betul-betul yang memperjuangkan hak rakyat kerana masing-masing ada kepentingan sendiri. Berbalah sesama sendiri demi merebut kuasa dan yang sengsara adalah rakyat sendiri. Mungkin ada pemimpin yang betul-betul ingin menyatupadukan rakyat dan betul-betul ikhlas, namun mereka ini tidak ramai. Akhirnya berbaliklah kepada diri kita sendiri, pemimpin mana yang harus dipilih. Kebijaksanaan kita jangan kita simpan hanya kerana suara-suara sumbang yang menghalang kita membuat pilihan.





This entry was posted on 6:37 AM . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

APA PANDANGAN ANDA?

ADAKAH ANDA SELESA DENGAN KEADAAN POLITIK MALAYSIA PADA MASA INI?

View Results
Create a Blog Poll