DEMI MASA  

Posted by Fauzan Razak

Masa sering membahasakan kita
Jika berlari, jangan tertinggal dek masa
Jika terbang, jangan leka dek angan
Andai duduk usah dilabuh malas

Benar kata pujangga;
Masa itu emas
Tergadai masa,
segunung emas tidakkan bisa menebus masa
tidak kita tahu harganya masa
andaipun dapat membelinya
ditempat mana dapat dibeli

takdir dan masa disulam kemas
tercicir langkah binasalah aturan
bisa sahaja menoleh ke belakang
namun sia-sia berkalang waktu
andai setitik masa tidak kita nikmati

terbanglah insan dengan sayap harapan
kejarlah gunung impianmu
demi menghirup nikmatnya usaha
secangkir masa usah kau bazirkan

ANTARA KEBIJAKSANAAN DENGAN PENGORBANAN:  

Posted by Fauzan Razak

Cuti Semester yang lepas aku sempat menyelak sebuah buku yang lamaku tinggalkan di almari rumah. 'Sulalatussalatin' atau Sejarah Melayu yang telah dikarang oleh Tun Sri Lanang memang telahku baca sewaktu belajar di tingkatan enam, buku wajib untuk teks matapelajaran kesusasteraan Melayu. Buku ini ditulis dalam bahasa Melayu Klasik, agak sukar untuk difahami. Namun, itu bukan alasan untuk tidak dibaca. Setelah sebulan membaca buku ini aku agak tertarik dengan sebuah peristiwa iaitu Sultan Muzaffar yang telah menyerahkan permaisuri baginda, Tun Kudu kepada Seri Nara Diraja Tun Ali untuk mengelakkan permusuhan atau perpecahan rakyat Melaka ketika zaman pemerintahan baginda di Melaka. Permusuhan tersebut berlaku antara golongan yang mengikut Tun Ali dan satu golongan mengikut Tun Perak. Penyerahan Tun Kudu kepada Tun Ali adalah satu pengorbanan dan meninggalkan kesan kepiluan kepada pembaca kerana Tun Kudu merupakan isteri kesayangan Sultan Muzaffar Syah. Setelah diceraikan, Tun Kudu diserahkan kepada Tun Ali. Baginda membuat demikian kerana Tun Kudu merupakan kakak kepada Tun Perak. Dengan penyerahan ini, Tun Ali dan Tun Perak berbaik-baik semula.
Peristiwa ni telah menyedarkan aku betapa bijak dan mulianya insan yang bergelar pemimpin ini. Baginda seorang yang bijak kerana telah berjaya menyelesaikan persengketaan yang berlaku antara beberapa pihak dan akhirnya dapat menyatupadukan rakyat. Baginda juga seorang yang mulia kerana baginda sanggup mengorbankan kepentingan baginda sendiri untuk meyatupadukan rakyat. Alangkah baiknya jika 'PEMIMPIN PADA MASA INI' berjiwa seperti baginda. Dengan situasi politik yang agak kelam kabut di negara ini, aku agak kabur pemimpin yang manakah yang betul-betul yang memperjuangkan hak rakyat kerana masing-masing ada kepentingan sendiri. Berbalah sesama sendiri demi merebut kuasa dan yang sengsara adalah rakyat sendiri. Mungkin ada pemimpin yang betul-betul ingin menyatupadukan rakyat dan betul-betul ikhlas, namun mereka ini tidak ramai. Akhirnya berbaliklah kepada diri kita sendiri, pemimpin mana yang harus dipilih. Kebijaksanaan kita jangan kita simpan hanya kerana suara-suara sumbang yang menghalang kita membuat pilihan.





Karenah Jiwa  

Posted by Fauzan Razak


Ahhhh....

Jam sudah mahu mencecah angka empat. Namun aku tetap di sini. Entah apa yang hendak dituju. Baru tadi sempat membelek buku-buku yang menyesakkan otakku. Esok ada exam kononnya. Tapi satu apa pun tidak lekat. Biarlah... AKU SUDAH LELAH. Biarku matikannya di sini sahaja. Aku sudah tak mahu fikir lagi. Banyak lagi yang harus aku fikir. Masalah ini. Masalah itu. Semuanya bersarang dalam otak. Semuanya berputar ligat tanpa memberi peluang untuk aku menangkap apa sebenarnya yang sedang aku fikir. Bertemankan asap rokok dan sebotol coca cola -yang sepatutnya aku boikot, aku tetap disini. Fikiran melayang lagi. "haruskah aku lepaskan semua? Haruskah aku biarkan sahaja?" Lantas hati membisik manja. Katanya, "dimana pergi semangatmu? Di mana pergi tongkat saktimu yang dulu? -berpantang kalah sebelum ajal." Aku seakan tersedar dari lamunan. Aku masih teringat, rupa-rupanya ibu bapaku di kampung pernah memberiku bekal sewaktu hari pertama aku di sini. Ya... Aku tidak akan mensia-siakannya. Tiba-tiba aku teringat itulah sebenarnya arah tujuku. Aku di sini berbekalkan harapan dan doa mereka. Ya Allah... Kenapalah aku cepat sangat lupa? Ahh... Aku harus berhenti seketika dari melayan karenah jiwaku. Kerana aku harus menatang bekal yang ibu dan ayahku berikan sewaktu dahalu. Terima kasih kepada mereka yang melahirkanku... Semoga ditempatkan disisi orang yang Allah kasihi. Amin.....

POHON  

Posted by Fauzan Razak

Semalam ...
pohon rendang yang redup menghijau
tempat menumpang ilmu dan pengalaman
masih senangku fahami

Semalam...
pohon hijau yang membuah kegembiraan
masih di situ kukuh ketawa riang
bersama kita

Sesekali sang pohon tersenyum riang
tidak pernah terleka meneduhkan ilmunya
lenggang lenggok tubuhnya menarikan bahasa ilmu
membuatkan kita senang mengutip buah-buah ilmu
yang gugur bersama jenaka-jenakanya

Entah kenapa...
hari ini aku tidak faham
rentak alunan sang pohon itu
yang tidak seperti dahulu

aku terasa gelap di bawahnya
nyamannya tidak terasa sewaktu dulu
indahnya saat kita bersama semakin hilang
hanya kerana tragedi itu
kau menimpakan dahan kerasmu di dadaku

aku sedari
aku sudah menoreh hatimu
tanpa sengaja
membuatmu begitu
mengalir getah-getah kecewa
lantas membuat aku dan mereka rasa bersalah

aku memohon seribu keampunan
kerana aku dan mereka telah membuatmu begitu
tidak terlintas dihati ini melukakan hatimu
tiada niat mempersendakan bentukmu
tiada juga mahu memusuhimu
tidak terdetik dihati ini untuk memarahimu
kerana pada waktu itu kita sama-sama ketawa riang
riang seperti selalu

andai ini penamatnya
aku memohon
jangan kau pergi pohonku
dari kami yang jahil ini
teruslah disitu
meneduhkan ilmumu
agar kami dapat terus berteduh
di bawahmu seperti selalu

maafkan kami wahai pohonku.....

BAHASA SEPI SANG SASTERAWAN....  

Posted by Fauzan Razak

Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucapkan bahasa ini - Datuk A. Samad Said

BAHASA SEPI SANG SASTERAWAN....


Cubalah kau dengar wahai anak
Dosa apakah yang kami lakukan?
Hukumanmu itu pada saudara-saudaramu ini apakah ertinya?
Kau kata bahasamu itu kolot
Kau kata bahasamu itu mundur
Kau haramkan bahasa ibumu kami lagukan

Kami tidak mengharap rezeki dari bahasa
Hanya di atas sana yang Maha memberi

Kau mahu hanya perutmu itu diisi
Kau mahu hanya kerabatmu yang mewah
Sedarkah kau wahai anak
yang di bawah ini menanggung derita

Yang kaya akan terus berkuasa
yang lemah akan terus dipijak
itu semua saudaramu sendiri wahai anak
suara kami tidak kau dengar
rayuan kami tinggal sepi

wahai anak
sedekahkan kepada kami sedikit ihsan
agar kami boleh bernafas di bumi kami sendiri
bumi yang sudah tandus dengan nikmat.





Bila Alam Menangis...  

Posted by Fauzan Razak

Lukisan alam tidak lagi semesra
Jiwanya menangis siapa yang tahu
Alam bagaikan terluka
Melihat anak-anaknya yang mencuri
Mencuri masa dan kuasa

Ibunya sendiri diperkosa
langsung semuanya tuli
sekan buta tentang ilmu yang di ajar alam
padahal dunia cyber dikuasai
pantas ibunya sendiri didera

suatu masa...
bila alam menangis
yang hitam masakan kembali putih
yang keruh masakan bisa jernih
padahnya suara alam tidak didengar
telinga dipekakkan
mata digelapkan

bila alam menagis
siapapun tidak simpati

bila tiada lagi ibu itu
anak-anaknya mula tercari-cari
membongkar kitab-kitab yang lusuh
yang lama ditinggal di almari masa
menyingkap kembali noda
kehitaman yang ditinggal
baru hendak dibuang

segala-galanya mungkin terlewat
kerana kita semua tertinggal dek masa
yang kita curi dahulu.

Ibu  

Posted by Fauzan Razak

Di bawah ini aku lampirkan klip-klip video yang kuambil dari youtube buat penyegar mata da halwa telinga. aku tertarik dengan persembahan klip ini disulami dengan lagu nasyid ciptaan Yusuff Islam yang bertajuk Mother. Rindu dengan bonda yang jauh di mata....

 

Posted by Fauzan Razak

Salam...Pertama kali meluncur di laman sesawang ini, masih banyak perkara yang janggal bagi aku...banyak perkara yang perlu belajar sebenarnya. Dunia ini sememangnya indah, cuma kita yang perlu tahu memanfaatkannya. Harap dapat belajar lebih banyak lagi di sini. Mengenal dunia yang asing, mengenal realiti hidup cyber, mengenali hati sang pembaca dan yang paling penting mengenal sang Pencipta

APA PANDANGAN ANDA?

ADAKAH ANDA SELESA DENGAN KEADAAN POLITIK MALAYSIA PADA MASA INI?

View Results
Create a Blog Poll